BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
KUALA TERENGGANU, 26 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan perbicaraan kes pemandu wanita yang didakwa dengan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun tahun lepas, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim untuk memindahkan kes Norizan Ismail, 50, yang didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan.
“Minggu lepas tertuduh telah dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun bagi izin dakwa berkait kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kali ini, saya mohon agar kes ini juga dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya pada sebutan semula kes Norizan hari ini yang diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Nur Nabihah Hanin berkata ia bagi membolehkan kedua-dua kes berkenaan dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Pada 15 Okt 2024, Norizan didakwa melakukan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, yang ketika itu berusia 20 tahun pada 7.35 malam 9 Okt tahun lepas, di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.
Norizan berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun jika disabitkan bersalah.
Ibu tiga anak itu juga didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaludin, 20, dalam kejadian sama.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan minimum 12 sebatan.
Mahkamah Majistret Dungun pada 20 Feb lepas turut memerintahkan kes itu di dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Dalam kejadian berkenaan, Norizan berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki mangsa yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam, menyebabkan tiga maut dan seorang lagi mangsa Muhammad Ammar Danish, cedera.
Kes yang mendapat perhatian seluruh negara itu kembali bersambung setelah mahkamah memutuskan Norizan layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikatri yang diperoleh dari Hospital Permai, Johor.
-- BERNAMA