BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
TANAH MERAH, 26 Feb (Bernama) -- Kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang hilang sejak Isnin lepas ditemukan meninggal dunia di tebing sungai berhampiran rumahnya di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini petang ini.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Asmadi Ariffin berkata mangsa, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dijumpai oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.15 petang dengan jarak tiga kilometer dari rumahnya.
"Operasi SAR yang memasuki hari ketiga itu bermula pada 10.15 pagi melibatkan anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Nur Rahimi Muaz Ramli, 30, ketika dihubungi berkata mereka sekeluarga menghargai jasa dan sumbangan serta pertolongan yang diberikan oleh semua pihak dalam usaha mencari Hud Aryan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah berlaku.
"Keadaan arwah ketika dijumpai juga masih berpakaian lengkap dan tiada sebarang kecederaan. Bagaimanapun, kita tunggu dulu hasil keputusan bedah siasat yang dilakukan terhadap arwah," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tanah Merah hari ini.
Ibu saudara Allahyarham Hud Aryan, Azean Suhaili Sisiliawati Ramley yang turut menyertai operasi berkenaan berkata arwah ditemukan selepas beberapa kali azan dilaungkan di sungai berkenaan.
"Saya turut naik bot bersama polis dan bomba. Ketika berada di sungai itu, kami turut melaungkan azan dan tidak lama kemudian pasukan yang berada di lokasi lain menghubungi dengan memaklumkan mayat Hud Aryan dijumpai.
"Saya tidak boleh berkata apa-apa, namun kami sekeluarga reda kerana Allah sayangkan Hud Aryan. Saya tatap jenazah Hud Aryan, mayatnya lengkap dan masih elok berpakaian," katanya.
Beliau berkata jenazah Hud Aryan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini pada malam ini.
-- BERNAMA