EKONOMI

PERMUKIMAN AEM KE-31 BERMULA DI DESARU

28/02/2025 12:36 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 bermula hari ini di Desaru, dengan tumpuan kepada integrasi ekonomi serantau dan strategi untuk mendepani cabaran geopolitik yang berterusan.

Dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, permukiman itu antara acara penting di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.

Perbincangan akan termasuk menambah baik Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan kemajuan mengenai penyertaan Timor-Leste dalam blok ASEAN.

Permukiman AEM akan turut menyemak semula 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) dan menangani kebimbangan mengenai dasar tarif Amerika Syarikat.

Permukiman itu, bersama-sama dengan mesyuarat berkaitan, diadakan di Desaru dari 22 hingga 28 Februari.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan