KANGAR, 28 Feb (Bernama) -- Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Perlis bagi tahun 1446H/2025M ditetapkan RM9 seperti diperkenankan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan bagi mereka yang memilih menunaikan zakat menggunakan beras, kadar ditetapkan ialah satu gantang Nabawi seorang, bersamaan 2.6 kilogram (kg).
"Pembayaran boleh dilakukan melalui amil dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran dalam talian yang disediakan bagi memudahkan urusan masyarakat,” menurut MAIPS menerusi kenyataan di sini hari ini.
MAIPs juga mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan zakat fitrah boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.
Kenyataan sama memaklumkan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan kadar zakat itu di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan Kempen Kesedaran Amalan Berwakaf dan Berinfak Tahun 2025, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan wakaf dan infak dalam pembangunan institusi Islam serta memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan.
Inisiatif itu juga diharap menjadikan masyarakat Islam di Perlis lebih peka terhadap tanggungjawab sosial mereka, selain membantu memperkasakan institusi wakaf dan infak dalam usaha memperkukuh ekonomi ummah.
-- BERNAMA