KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di daerah Telupid dan Paitan kekal 413 orang daripada 124 keluarga setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 350 orang daripada 102 keluarga masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Telupid manakala 63 orang daripada 22 keluarga berada di dua PPS di Paitan.
“Sebanyak 14 kampung terjejas banjir, iaitu enam di Telupid dan lapan di Paitan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Telupid dan Paitan terletak di kawasan pedalaman Sabah, masing-masing lebih 200 kilometer dan lebih 230 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.
-- BERNAMA