JENAYAH & MAHKAMAH

ATM TAHAN WARGA ASING BERSAMA TIGA BUNGKUS AIR KETUM DI SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

01/03/2025 11:31 AM

KOTA BHARU, 1 Mac (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan seorang lelaki warga asing bersama tiga bungkus air ketum dan sebilah parang di sempadan Malaysia-Thailand, Rabu lepas.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan suspek ditahan pada 11.45 malam semasa anggota melakukan rondaan rutin di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

"Pasukan operasi telah mengesan empat  lelaki menyusuri tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia (Jeli) dalam keadaan mencurigakan. 

"Apabila didekati, kesemua mereka bertindak melarikan diri dengan cuba menyeberangi Sungai Golok ke arah Thailand, namun seorang daripada mereka ditahan manakala tiga rakannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua lelaki terbabit dipercayai merancang untuk melaksanakan aktiviti penyeludupan, namun hasrat tidak tercapai apabila diserbu pasukan operasi.

"Suspek yang ditahan tidak membawa pengenalan diri namun mengakui warganegara Malaysia dan dipercayai membawa bahan terlarang di dalam beg galas.

"Polis telah menjalankan pemeriksaan di dalam beg galas serta badan suspek sebelum menemukan tiga bungkusan dipercayai air ketum, sebilah parang, telefon bimbit, sejumlah wang tunai mata wang Thailand, sarung tangan getah, beg silang serta tali dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,203," katanya.

Menurut kenyataan itu, suspek telah diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut kerana didapati tidak membawa pengenalan diri dan memiliki senjata berbahaya manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan