EKONOMI

MENTERI EKONOMI ASEAN LAKAR PENCAPAIAN PENTING DENGAN SOKONG KEBERHASILAN EKONOMI BERKEUTAMAAN

01/03/2025 03:40 PM

Oleh Niam Seet Wei, Norsyafawati Ab Wahab, Mohd Khairi Idham Amran, Ahmad Erwan Othman & Danni Haizal Danial Donald

KOTA TINGGI, 1 Mac (Bernama) -- Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31, yang berakhir Jumaat di Desaru dekat sini, melakar pencapaian penting dengan menyokong pelbagai inisiatif ekonomi termasuk kesemua 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) yang menjadi kunci dalam mencapai aspirasi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Pencapaian itu jelas mencerminkan komitmen bersama negara Asia Tenggara untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan, dan merangsang perdagangan digital di ASEAN.

PED itu akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-46 pada November ini yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.

Langkah serta tindakan pantas dan tegas yang diambil kalangan menteri serantau semasa permukiman itu serta mesyuarat berkaitan adalah susulan ketidaktentuan geopolitik khususnya pelaksanaan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat ke atas rakan dagang rantau ini, yang menimbulkan kebimbangan mengenai kesan akhir ke atas ekonomi masing-masing.

PED itu turut merangkumi usaha meningkatkan perdagangan dengan dua rakan utama Asia, iaitu China dan India, serta memperkukuh hubungan ekonomi dengan enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kaya dengan minyak.

Perkara itu merupakan satu kejayaan bagi Malaysia apabila memperoleh konsensus mengenai PED selepas mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN hanya dua bulan daripada pengerusi terdahulu, Laos.

Pencapaian itu juga menandakan kerja baik yang dilakukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam mempengerusikan Permukiman AEM dengan cekap seterusnya berjaya memperoleh konsensus serantau dengan cepat.

Beliau juga mengalu-alukan Timor Leste sebagai bakal negara anggota ASEAN ke permukiman itu, dengan Dili dijangka secara rasmi diterima masuk sebagai anggota penuh ke dalam ASEAN semasa sidang kemuncak pemimpin pada Mei ini.

Antara inisiatif lain dalam 18 PED itu meliputi pemuktamadan rundingan dan pemeteraian Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan pemeteraian Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China 3.0.

PED itu juga melibatkan pemuktamadan penting bagi semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta deklarasi bersama mengenai Kerjasama Ekonomi antara ASEAN dan negara GCC.

Tengku Zafrul berkata rundingan naik taraf FTA ASEAN-China 3.0 sedang berjalan baik, dengan negara anggota optimistik protokol naik taraf itu akan dapat ditandatangani pada tahun ini, susulan pengumuman penting oleh pemimpin ASEAN pada 2024.

Beliau juga yakin rundingan naik taraf ATIGA dapat diselesaikan pada Mac, susulan perkembangan positif daripada perbincangan dengan rakan serantau ASEAN.

Mengenai DEFA, Tengku Zafrul berkata perkara itu akan menjadi satu perjanjian penting dan pemacu baharu bagi pertumbuhan sosioekonomi ke arah transformasi ekonomi digital seluruh ASEAN, yang akan membawa manfaat besar khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Sehubungan itu, kita bersetuju untuk menggandakan usaha dan meneroka pilihan alternatif bagi mempercepat kerja,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Permukiman AEM pada Jumaat.

Permukiman AEM juga membincangkan rancangan dan visi untuk fasa seterusnya dalam integrasi ekonomi ASEAN selepas 2025.

Perkara itu termasuk pembangunan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030, yang kini berada di landasan untuk diterima pakai oleh pemimpin blok serantau pada sidang kemuncak yang akan datang pada Mei.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata Pelan Strategik AEC 2026-2030 dijangka dimuktamadkan menjelang Mac tahun ini, sekali gus untuk diterima pakai oleh para pemimpin.

Tengku Zafrul berkata dalam permukiman itu, kalangan menteri telah menerima pakai beberapa inisiatif serantau utama khususnya pelaksanaan pelan hala tuju untuk Nombor Pendaftaran Perniagaan Unik (UBIN) digital ASEAN dan prinsip panduan untuk rundingan Perjanjian Rangka Kerja bagi Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AFAIPC) 2.0.

Satu lagi inisiatif yang disokong ialah Perjanjian Rangka Kerja Kawal Selia Farmaseutikal ASEAN (APRFA), yang dijangka ditandatangani pada mesyuarat AEM ke-57 pada September 2025, katanya.

“Kesemua dokumen ini menjadi asas penting dalam pelbagai bidang kerja untuk mewujudkan ekonomi yang lebih kompetitif serta memudahkan perdagangan dan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Mengenai kemajuan berkenaan keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN, Tengku Zafrul berkata kalangan menteri membincangkan perkara itu dan mengesahkan sokongan mereka untuk penyertaan negara itu dalam Perjanjian Ekonomi ASEAN (AEA) yang diperlukan sebagai sebahagian daripada proses keseluruhan ke arah keanggotaan penuh dalam ASEAN.

“Malaysia menyuarakan bahawa penyertaan Timor-Leste adalah keutamaan bagi kepengerusian ASEAN pada 2025, dan Malaysia amat berpandangan dengan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota penuh ke-11, potensi dan pertumbuhan ekonomi serantau ASEAN dapat diperkukuh,” katanya.

Negara itu diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keanggotaan pada 4 Mac, 2011.

Semasa permukiman itu, delegasi juga telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), dan entiti perundingan pengurusan global, McKinsey.

“Kita membincangkan usaha, cadangan, dan input mereka mengenai aspek integrasi ekonomi tertentu di rantau ini,” katanya.

Sesi Permukiman AEM ke-31 dan mesyuarat berkaitannya berlangsung di Desaru dari 22 hingga 28 Februari bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Bermula dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 pada 22 hingga 23 Februari, diikuti Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) yang diadakan bermula 24 hingga 25 Februari.

Susulannya, Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) diadakan pada 26 hingga 27 Februari, manakala kemuncak acara Pemukiman AEM berlangsung pada 28 Februari, bersempena kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta menerajui usaha untuk meneroka dan mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan