JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SIASAT DAKWAAN GURU ADA HUBUNGAN ISTIMEWA DENGAN MURID

01/03/2025 04:55 PM

SEPANG, 1 Mac (Bernama) -- Polis sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan seorang guru sebuah sekolah di Dengkil di sini mempunyai hubungan istimewa dengan murid berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa murid berkenaan pada Rabu. 

“Bapa kandung tampil membuat laporan apabila mendapat tahu anak perempuannya sering dihubungi oleh guru berkenaan melalui aplikasi TikTok, Love8 dan WhatsApp.

“Perkara itu mencurigakan seperti tidak menampakkan hubungan antara seorang anak murid dan guru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata polis telah mengambil keterangan guru lelaki berusia 30-an itu semalam dan siasatan sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017  yang membawa hukuman penjara melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita dan maklumat tidak benar berkaitan kes ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan