AM

PERAK HARAP KIGIP SIAP 2028 - SAARANI

01/03/2025 05:26 PM

TAIPING, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak berharap pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu menjelang akhir 2028.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau difahamkan terdapat beberapa halangan seperti keperluan untuk menambak tanah yang berpaya di kawasan projek mega yang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) itu.

"Baru-baru ini saya dimaklumkan mereka (SD Guthrie) akan berkolaborasi dengan Gamuda Berhad yang mempunyai kepakaran mengeringkan air seperti dilakukan di Belanda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Kamunting dekat sini hari ini.

Saarani berkata pihaknya berharap dengan kolaborasi berkenaan ia dapat menyelesaikan masalah paya serta mempercepat proses penambakan di kawasan projek itu.

Menurut Saarani, projek KIGIP adalah di bawah penyeliaan dan pemantauan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri telah memudah cara dari segi tanah serta kelulusan Kebenaran Merancang (KM). 

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memaklumkan projek berkenaan mesti disempurnakan pada hujung 2028.

"Maknanya mereka kena segerakan, walau apa pun halangan mereka kena cepat. Apabila siap pada 2028 dan pada 2029 akan mula dibuka kepada pelabur.

"YB Loh Sze Yee (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri) dan rakan-rakan InvestPerak (memaklumkan) kekangan kita apabila pelabur datang nak tengok tapak itu siap. Jadi kita akan buat segera mungkin," katanya.

Selain itu, Saarani berkata beliau juga berharap pemindahan air daripada Sungai Perak melibatkan loji rawatan air di Utara kerana air yang dipindahkan bukan sahaja untuk keperluan pertanian dan menghantar air terawat kepada Pulau Pinang, tetapi penting bagi kegunaan KIGIP.

“Kilang yang berkaitan dengan sektor elektrikal dan elektronik (E&E) juga memerlukan sumber air,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan