EKONOMI

DIVIDEN SAMA RATA TONJOL KEKUATAN PELABURAN SYARIAH – AHLI EKONOMI

01/03/2025 07:28 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dividen 6.30 peratus yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk akaun syariah bagi 2024 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion menjadi bukti pelaburan patuh syariah itu mempunyai potensi kukuh dalam menghasilkan pulangan, kata seorang ahli ekonomi.

Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata ini merupakan satu senario yang menarik kerana ramai menganggap pelaburan patuh syariah tersebut lebih sukar untuk diuruskan.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan patuh syariah dianggap memberikan pulangan yang lebih rendah.

"Tahun ini, KWSP membuktikan pelaburan patuh syariah mempunyai potensi yang sama besar dalam menghasilkan pulangan. Ini boleh menjadi petunjuk kepada pasaran global iaitu pelaburan berasaskan syariah juga menarik dan mungkin mencapai prestasi yang lebih tinggi pada masa depan.

"Ini menandakan permulaan era baharu bagi peluang pelaburan," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024, menjadikan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion.

Prestasi tersebut dikaitkan dengan pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang baik.

Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM66.99 bilion pada 2023.

 

Peningkatan Keyakinan Pelabur terhadap Dana Shariah

 

Sementara itu, menyuarakan pendapat yang sama, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat dividen yang sama rata ini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dana syariah KWSP.

Selain menarik lebih ramai ahli untuk memilih simpanan patuh syariah, ia juga akan menggalakkan pengagihan yang lebih besar ke dalam sektor patuh syariah yang berprestasi tinggi seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh baharu.

Sebagai tindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk produk kewangan Islam, KWSP boleh mengembangkan asas aset patuh syariahnya.

"Dividen sama rata ini mungkin merupakan langkah pertama ke arah merapatkan jurang di antara kewangan Islam dengan konvensional, mengukuhkan idea iaitu pelaburan beretika boleh menghasilkan pulangan yang kompetitif," katanya.

Beliau juga menekankan ini mungkin menggalakkan lebih ramai pelabur institusi untuk mempertimbangkan pelaburan patuh syariah, seterusnya merangsang pertumbuhan dalam sektor kewangan Islam di Malaysia.

 Beliau berkata produk kewangan Islam dilindungi daripada risiko berlebihan dan aktiviti spekulatif serta secara sejarahnya menunjukkan daya tahan semasa krisis kewangan.

Kebergantungannya pada pelaburan berasaskan aset, mekanisme perkongsian risiko dan larangan riba (faedah) membantu mengurangkan turun naik selain menjadikannya lebih stabil dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Kestabilan ini mungkin menyumbang kepada pulangan yang lebih kukuh untuk portfolio patuh syariah KWSP khususnya pada waktu ketidaktentuan pasaran global.

"Sehubungan itu, sifat pelaburan Islam yang mengurangkan risiko mungkin menjadi faktor utama di sebalik kadar dividen yang sama rata untuk akaun syariah dan konvensional KWSP pada 2024," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan