KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang bermula pada Sabtu lepas, tidak bertindih dengan tugas Jurucakap Kerajaan MADANI Fahmi Fadzil.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Taklimat Harian PMO sebaliknya berperanan sebagai pelengkap dalam memperkukuh struktur komunikasi kerajaan.
“Taklimat Harian PMO lebih memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa yang mendesak.
“Ia juga arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi selaku Jurucakap Kerajaan MADANI pula bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang membabitkan dasar kerajaan, serta keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada Jurucakap Kerajaan MADANI (Fahmi),” kata Tunku Nashrul.
Taklimat Harian PMO akan disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada 11 pagi dan 5 petang mengikut keperluan, yang disampaikan oleh Tunku Nashrul.
Pada 31 Jan 2023, Fahmi mengesahkan pelantikan beliau sebagai jurucakap Kerajaan MADANI.
Tengku Nashrul berkata dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat tepat selain mencantas fitnah serta maklumat palsu dengan pantas dan berkesan.
-- BERNAMA