KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- WCT Holdings Bhd telah menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi penubuhan serta penyenaraian amanah pelaburan hartanah Paradigm (Paradigm REIT) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, WCT berkata Paradigm REIT bakal dilancarkan dengan saiz dana awal sebanyak 1.6 bilion unit selain mengambil alih tiga hartanah bernilai RM2.44 bilion.
“Pengambilalihan oleh Paradigm REIT itu membabitkan pertimbangan belian berjumlah RM2.44 bilion yang akan dipenuhi menerusi terbitan 1.6 bilion unit bernilai RM1.00 seunit dan RM837 juta tunai yang dibiayai menerusi nota jangka sederhana berstruktur (MTN)," katanya.
WCT berkata cadangan tawaran sehingga 254.7 juta unit itu akan diperuntukkan untuk pelabur runcit, termasuk pemegang saham WCT, pekerja dan orang awam Malaysia.
Menurutnya daripada 254.7 juta unit itu, terdapat penjualan sehingga 194.86 juta unit tawaran terhad (ROU) kepada pemegang saham WCTH yang layak dan namanya dalam rekod pendeposit WCT berdasarkan satu ROU bagi setiap lapan saham sedia ada yang dipegang pada tarikh yang akan diumumkan oleh WCT.
“Sebanyak 27.79 juta unit dikhususkan bagi pengarah dan pekerja WCT Group dan Paradigm REIT yang layak. Sejumlah 32 juta unit lagi untuk orang awam Malaysia yang mana 16 juta unit bagi permohonan pelabur awam bumiputera menerusi undian,” katanya.
Selain itu, sebanyak 305.3 juta unit akan ditawarkan kepada pelabur institusi terpilih dengan 200 juta unit dikhaskan untuk pelabur bumiputera diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.
Pada masa sama, terdapat syarat bahawa Paradigm REIT memperuntukkan 12.5 peratus daripada jumlah unit terbitan dipertingkatkan kepada pelabur bumiputera untuk kelulusan MITI dan menyediakan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada unit yang ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia melalui undian kepada pelabur awam bumiputera.
Penyenaraian itu tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia, pemegang saham, pihak berkuasa negeri serta pembiaya.
-- BERNAMA