KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Dua bintang muda Kuala Lumpur berada dalam kelas tersendiri apabila Connor Axel Liewkai dan Wang Xin Yip masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi kategori lelaki dan perempuan pada Grand Final Sirkit Golf Elit Perdana Remaja Malaysia SportExcel NSC-MILO hujung minggu lalu.
Dalam saingan di Kelab Golf Danau, Bangi, dekat sini, Connor mengungguli kategori lelaki apabila mencatatkan skor keseluruhan 229 selepas merakamkan 72, 76, dan 81 sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
Sementara itu, dalam kategori perempuan, Xin Yip muncul juara dengan catatan keseluruhan 232 selepas mencatatkan 75, 75, dan 82.
Pertandingan itu menampilkan 43 pemain elit terbaik negara yang layak ke grand final berdasarkan pencapaian mereka sepanjang Jelajah Remaja SportExcel yang diadakan di pelbagai kelab golf di seluruh negara.
“Bagi atlet muda ini, terbukti kejohanan golf ini lebih daripada sekadar memenangi pingat. Ia memberi peluang untuk mempamerkan bakat, membina persahabatan dan menimba pengalaman dengan bersaing dalam kalangan pemain junior terbaik di negara ini,” kata Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Milo, Sheena Dina Rizal.
-- BERNAMA