KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pemain industri solar tempatan digalakkan untuk meneroka pasaran alternatif khususnya dalam ASEAN bagi mengurangkan pergantungan kepada Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kerajaan AS mengenakan tarif terhadap import panel solar dari empat negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Kementerian itu berkata MITI bagi pihak kerajaan Malaysia terlibat secara langsung dalam siasatan timbal balas dan anti-lambakan oleh kerajaan AS berhubung perkara itu.
"MITI komited untuk mempertahankan industri solar di Malaysia daripada tindakan-tindakan remedi perdagangan diambil oleh kerajaan AS dengan menyangkal dakwaan tidak berasas dan mengemukakan pandangan serta maklum balas berdasarkan input diterima daripada pihak pemegang taruh," kata MITI dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen malam tadi.
MITI berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkenaan pendirian MITI berhubung keputusan AS untuk mengenakan tarif ke atas import panel solar dan kesiapsiagaan kementerian dalam menyerap implikasi keputusan terhadap sektor tenaga hijau negara.
Selain itu, MITI juga telah memberitahu kerajaan AS bahawa program-program galakan pelaburan di Malaysia adalah selaras dengan peruntukan di bawah perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai mengenai Subsidi dan Langkah Timbal Balas (WTO ACSM)
Kementerian itu menegaskan bahawa industri solar Malaysia tidak menerima sebarang faedah daripada program-program yang didakwa sehingga menyebabkan kemudaratan kepada industri solar AS.
"Usaha ini ditekankan supaya hubungan kerjasama pengeluar-pengeluar panel solar dalam rantaian bekalan negara-negara ASEAN akan membantu dalam menghadapi implikasi ini secara kolektif.
"Dorongan dan galakan terhadap pelaburan di dalam penyelidikan dan pembangunan aktiviti-aktiviti pelbagaian berkaitan teknologi hijau juga akan dapat menempatkan Malaysia sebagai pengeluar panel solar serta peralatan teknologi hijau yang berkualiti tinggi sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi hijau terkemuka di rantau ini," katanya.
-- BERNAMA