Konflik gajah dan manusia di negara ini bukan perkara baharu, namun sejak beberapa tahun yang lalu isu berkenaan dilaporkan semakin serius di Semenanjung, termasuk di Perak.
Artikel pertama daripada laporan tiga bahagian ini mengupas statistik insiden membabitkan haiwan itu dengan manusia, puncanya serta tindakan penyelesaian yang diambil oleh pihak berwajib dalam tempoh lima tahun sejak 2019.
Bagi penduduk dan juga pengguna jalan raya di kawasan Hulu Perak, khususnya Gerik dan Sungai Siput, melihat kawanan gajah berkeliaran adalah pemandangan biasa seumpama melihat ternakan seperti lembu dan kambing.
Bezanya, kehadiran haiwan yang turut digelar “abang besar” ini membawa risiko keselamatan dan kerugian harta benda yang perlu diberi perhatian oleh manusia, terutama penduduk di kampung berhampiran habitat mereka.
Sekalipun konflik gajah dan manusia berlaku sejak sekian lama, perkongsian di media sosial oleh orang ramai yang pernah “bertembung” dengan mamalia darat terbesar ini dalam tempoh beberapa tahun lepas, menunjukan situasi itu memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata berdasarkan aktiviti kawalan yang dilakukan, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan populasi haiwan berkenaan.
pic-2
Selain itu katanya, faktor adaptasi juga membuatkan gajah berkenaan tidak lagi begitu "mengelak” daripada manusia, sekali gus menjadikan mereka mudah ditemukan.
“Hampir 50 peratus kawasan di negeri ini masih berhutan dan bersambung dengan hutan di selatan Thailand, menjadikan Perak sebagai antara negeri yang menyediakan habitat sesuai untuk gajah terus tinggal di sini.
“Kemudahan membuat aduan menerusi telefon pintar juga menjadi faktor utama kepada peningkatan aduan yang pihak kami terima, selain peningkatan kesedaran awam, khususnya dalam kalangan generasi muda, tentang fauna dan flora,” katanya.
Beliau tidak menolak faktor kegiatan manusia termasuk pembukaan tanah untuk pembangunan dan lain-lain aktiviti, menyumbang kepada haiwan itu merayau ke kawasan ladang dan petempatan manusia, di samping tabiatnya yang suka kembali ke lokasi yang pernah dikunjunginya.
ADUAN DAN PAMPASAN AKIBAT GAJAH
Yusoff berkata dalam tempoh 2019 hingga 2024, Perhilitan Perak merekodkan dua kematian serta tiga kecederaan akibat konflik gajah dan manusia.
Katanya anggaran kerugian akibat serangan gajah dari 2019 hingga 2024 ialah sebanyak RM2,343,673.
pic-3
“Sepanjang tahun lepas, Perhilitan Perak menerima 422 aduan berkaitan gajah dengan jumlah bantuan yang dibayar kepada mangsa sebanyak RM150,744.52.
“Kita bayar separuh daripada nilai anggaran kerosakan, iaitu katakan kerugian RM5,000, kita akan bayar RM2,500,” katanya, menjelaskan kerosakan termasuk kemusnahan tanaman dan harta benda.
Beliau berkata pembayaran bantuan kerugian itu dibuat menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan.
Bagi insiden melibatkan kecederaan atau kematian akibat hidupan liar pula, Yusoff berkata bantuan disalurkan menerusi Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas yang diwujudkan pada 2008 dan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Tugas kami cuma sebagai penasihat dan mengesahkan serangan dilakukan oleh hidupan liar," katanya.
TRANSLOKASI GAJAH DI PERAK MENINGKAT TAHUN LEPAS
Menurutnya lagi, dalam tempoh 2020 hingga 2023, Perhilitan Perak memindahkan 41 ekor gajah yang terlibat dalam konflik dengan manusia.
“Pada tahun lepas (2024) agak tinggi berbanding 2020 hingga 2023, iaitu sebanyak 32 ekor dengan 16 ekor dari Kampung Bandariang, Gerik.
pic-4
“Kes di Kampung Bandariang ini melibatkan sekumpulan gajah,” katanya.
Yusoff berkata lazimnya, langkah pertama yang diambil oleh Perhilitan apabila menerima aduan gangguan gajah ialah menghalau haiwan tersebut keluar dari kawasan berkenaan.
“Bila terima aduan, kita siasat dan kemudian kita halau. Tidak kira sama ada haiwan ini masuk secara berkumpulan atau individu,” katanya sambil menjelaskan tindakan tangkap dan pindah hanya dibuat apabila gajah-gajah terbabit datang kembali.
“Dalam kes begini, kalau haiwan ini datang berkumpulan, kita selalunya tangkap seekor sahaja dan kebiasaannya yang lain akan lari dan tidak akan datang semula ke lokasi tersebut,” tambahnya.
Bagaimanapun dalam kes di Kampung Bandariang, kumpulan gajah terbabit “berdegil” dan tetap kembali ke lokasi sekalipun dua ekor daripadanya telah ditangkap sebelum itu.
Ditanya faktor kumpulan gajah terbabit tidak mahu meninggalkan lokasi berkenaan, Yusoff berkata pihaknya percaya musim buah dokong yang sedang memuncak ketika itu antara punca haiwan berkenaan tetap kembali ke kampung tersebut.
Sementara itu, beliau berkata proses memindahkan gajah yang terlibat dalam konflik dengan manusia bukan sesuatu yang mudah selain melibatkan kos tinggi, khususnya untuk tenaga manusia dan logistik.
“Dalam setiap operasi, kita perlukan kira-kira 30 orang. Kos ubat bius juga mahal kerana diimport. Sekiranya gajah yang berjaya ditangkap berada di lokasi yang tiada jalan, maka kita terpaksa bina jalan dengan menggunakan jentera berat bagi membolehkan lori masuk berhampiran lokasi dengan satu loading bay juga perlu dibina bagi memudahkan kerja menaikkan gajah ditangkap ke atas lori.
“Begitu juga kalau kita gunakan gajah denak. Di Perak tidak ada gajah denak, terpaksa bawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang. Minimum, kita perlukan dua ekor gajah denak untuk ‘memujuk’ gajah yang telah ditangkap. Jadi, kos akan bertambah,” jelasnya.
DIET DAN SIFAT GAJAH
Dalam pada itu, Yusoff berkata haiwan tersebut biasanya makan antara enam ke 10 peratus berbanding berat badannya, sekali gus menyebabkan gajah mempunyai kawasan rayau yang luas bagi mencari makanan.
“Gajah di negara ini ialah spesies gajah Asia yang boleh mencapai berat 5,000 kg atau lima tan dengan ketinggian hingga tiga meter.
"Jadi, kalau beratnya 1,000 kg atau satu tan, dia makan dalam 60 ke 100 kg satu hari. Makanannya termasuk daun-daun, umbut... kebanyakan suka umbut, sebab itu haiwan ini serang (ladang) kelapa sawit sebab mereka makan umbut sawit. Selain itu, gajah juga suka makan kelapa dan tebu,” katanya, menambah gajah liar boleh hidup hingga 65 tahun.
pic-5
Menurut beliau lagi, usia matang gajah ialah lapan ke sembilan tahun dan pada usia berkenaan haiwan ini akan mula mengawan, sementara tempoh bunting pula ialah 22 bulan.
“Lazimnya, haiwan ini hanya lahirkan seekor anak, jarang berlaku kembar. Anak gajah yang lahir pula akan dijaga secara bersama-sama oleh gajah lain dalam kumpulan,” jelasnya, menambah gajah hidup berkumpulan dan diketuai oleh seekor gajah betina dominan.
Gajah jantan pula katanya akan meninggalkan kumpulan apabila mencapai usia matang dan hidup sendirian.
“Adakalanya gajah jantan ini menyertai kumpulan gajah jantan lain, tetapi bukan dalam erti kata sebenar, sebab yang jantan hidupnya lebih kepada solitary,” tambah beliau.
Yusoff berkata gajah biasanya aktif pada awal malam hingga awal pagi dengan kawasan keliaran meliputi keluasan hampir 60 kilometer persegi.
Selain itu, haiwan ini juga berisiko menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk obesiti, diabetes dan barah.
“Gajah yang terbiasa dengan manusia mempunyai tabiat berbeza dengan gajah yang jarang bertembung dengan manusia. Selain itu, haiwan ini juga belajar daripada pengalaman.
“Contohnya, kalau manusia sering membaling mercun ke arah mereka, pada mulanya gajah akan lari kerana berasa takut atau terancam. Akan tetapi, jika perbuatan dilakukan dengan kerap, gajah mungkin tidak lagi akan melarikan diri kerana tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas mereka,” katanya.
Namun katanya, apabila haiwan itu berasa sakit setiap kali ada bunyi letupan akibat tembakan, ia akan anggap bunyi letupan tersebut sebagai ancaman dan berisiko untuk menyerang.
pic-6
“Begitu juga dengan bunyi hon kenderaan. Ada dua kemungkinan yang akan berlaku, iaitu sama ada ia lari ataupun menyerang. Oleh itu, langkah terbaik pengguna jalan raya apabila bertembung dengan gajah ialah duduk diam di dalam kenderaan. Jangan bunyikan hon,” katanya lagi.
Beliau juga melihat konflik gajah dan manusia di negara ini masih terkawal.
“Di Thailand, purata 20 ke 30 orang mati akibat serangan gajah dalam setahun. Di Semenanjung, kalau tidak silap saya, tahun lepas ada dua kes kematian, iaitu masing-masing satu di Johor dan Perak, bermakna keadaan masih lagi terkawal," katanya.
Di negara ini, gajah antara hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
-- BERNAMA