KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk melantik dua Ahli Dewan Negara dan empat Ahli Parlimen termasuk dua wakil daripada pembangkang ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi menambah baik keanggotaannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan itu akan dibuat Jawatankuasa Pemilih esok, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya difahamkan terdapat cadangan untuk menambah baik keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen dan perkara ini boleh dibuat tanpa pindaan kepada RUU ini dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 76, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Ini seperti diberi kefahaman oleh penasihat undang-undang, memadai untuk menjamin bukan sahaja kebebasan tetapi perwakilan daripada pembangkang.
“... namun setelah mendengar beberapa acara libat urus termasuk pembangkang, kerajaan setuju untuk membuat pindaan dalam jawatankuasa pada hari esok, sekiranya RUU ini diluluskan oleh Dewan dengan memasukkan pindaan ini…pelantikan ini akan dibuat Jawatankuasa Pemilih dan kelulusan oleh Dewan masing-masing,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan itu, bukan sekadar melibatkan satu pindaan kecil tetapi juga usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa dan berdaya saing.
Beliau berkata perkara itu merupakan reformasi yang dinantikan selama lebih tiga dekad dan merupakan satu langkah berani oleh Kerajaan MADANI, yang akan menentukan hala tuju institusi demokrasi negara bagi generasi kini dan akan datang.
“Keindahan konsep pemisahan kuasa terletak pada keseimbangannya, tanpa kawalan berlebihan oleh mana-mana pihak, keadilan dapat ditegakkan, kebebasan dipelihara dan kuasa tidak disalahgunakan. Inilah asas kepada sebuah negara yang telus dan berintegriti,” kata beliau.
Anwar berkata Malaysia telah mengamalkan doktrin pengasingan kuasa sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, yang menjadikannya satu elemen penting dalam struktur pentadbiran negara, dengan prinsip itu tidak hanya bersifat teori, tetapi juga telah diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada sistem pentadbiran negara.
Beliau berkata dari 1957 hingga 1963, Parlimen mengendalikan urusan pentadbiran dan sumber tanpa Akta Perkhidmatan Parlimen, namun perubahan besar berlaku apabila pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 semasa pentadbiran Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman, bagi tujuan memberikan kuasa autonomi kepada Parlimen.
Jelas Anwar akta pada ketika itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Perkhidmatan Parlimen yang diberi kuasa dalam aspek pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan kewangan, namun pada 1992, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan telah dibuat dan memansuhkan Perkhidmatan Parlimen yang telah diwujudkan melalui Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.
Perdana Menteri berkata perkara itu atas alasan untuk membuka peluang kerjaya yang lebih luas kepada anggota perkhidmatan Parlimen dan memberi ruang kepada pegawai berpengalaman untuk mentadbir institusi itu yang akhirnya memberi kesan kepada penghakisan autonomi Parlimen.
“Kini, setelah 33 tahun, Kerajaan MADANI membawa pentadbiran negara kembali ke landasan yang betul dengan penggubalan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan membolehkan Parlimen untuk berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
“Dengan autonomi yang diperkukuh, Parlimen akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, menjaga kepentingan rakyat serta mengekalkan keseimbangan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.
Anwar berkata pemisahan kuasa bukan sekadar satu prinsip asas dalam demokrasi, tetapi juga lambang kepada sistem pentadbiran yang adil dan berkesan.
Justeru dengan termeterainya cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, kebebasan institusi Parlimen bukan sahaja diperkukuh, tetapi turut menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi negara.
-- BERNAMA