KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Wartawan sebuah portal berita yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lepas kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah, dibebaskan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lelaki terbabit dibebaskan selepas tempoh remannya tamat hari ini.
“Beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM dan siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi Bernama sambil menambah pihaknya akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu melengkapkan siasatan.
Beliau berkata kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Semalam, Azam dilaporkan berkata penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya, serta disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Wartawan tersebut disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
-- BERNAMA