KUCHING, 5 Mac (Bernama) -- Orang ramai dipelawa untuk merasai pengalaman menggunakan bas baharu di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST), yang mula beroperasi dari Open Air Market di sini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata program itu akan memperkenalkan 56 bas baharu yang beroperasi di 10 laluan secara berperingkat, sekali gus meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar berkenaan.
“Hari ini, syarikat bas memulakan operasi dengan enam bas, manakala lima masih belum beroperasi. Satu lagi kumpulan sebanyak 26 bas akan tiba pada akhir Mac, manakala 20 bas lagi dijangka tiba penghujung April.
“Bas moden ini dilengkapi dengan CCTV, kemudahan dek rendah untuk OKU (orang kurang upaya) dan penjejakan GPS. Kami berharap lebih ramai orang akan menggunakan bas ini bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini,” katanya kepada pemberita sebelum mencuba perkhidmatan berkenaan di stesen bas di sini hari ini.
Lee berkata perkhidmatan bas itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan, yang turut memperkenalkan sistem Kad Konsesi BAS.MY untuk perjalanan percuma menaiki bas SBST bagi warga emas, OKU dan pelajar.
“SBST turut memperkenalkan sistem kad prabayar bernilai RM50 yang sah selama 30 hari dengan perjalanan tanpa had bagi semua bas.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk memastikan pelaksanaan pemodenan dan transformasi pengangkutan awam di Sarawak berjalan lancar, dan berharap ia akan diperluaskan ke bahagian lain di negeri ini,” katanya.
Lee berkata kementeriannya juga akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara untuk menambah bilangan terminal bas dan mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan terminal baharu.
Semalam, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dalam satu kenyataan menyatakan laluan pertama, Q10 akan memulakan operasi dari Open Air Market ke Serian.
Bas beroperasi menggunakan sistem pembayaran terbuka, yang membolehkan penumpang membayar menggunakan kad debit, kad kredit, e-dompet atau tunai.
-- BERNAMA