AM

PERSENDA AMALAN AGAMA LAIN JEJASKAN PERPADUAN - SARASWATHY

05/03/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Mempersendakan amalan keagamaan pihak lain menjejaskan nilai saling hormat-menghormati dan persefahaman dalam masyarakat yang harmoni, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy.

Merujuk kepada video tular yang didakwa memaparkan tiga penyampai dari stesen radio milik Astro mempersendakan ritual keagamaan, beliau berkata tindakan itu bukan sahaja menyinggung perasaan tetapi juga mencerminkan kekurangan sensitiviti budaya dan agama.

“Media memainkan peranan penting dalam membentuk sikap masyarakat, dan mereka mesti melakukannya dengan penuh hormat serta kesedaran terhadap kepelbagaian warisan budaya Malaysia. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan keterangkuman dan persefahaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saraswathy berkata Kementerian Perpaduan Negara secara aktif memupuk keharmonian nasional melalui konsep Faham, Hormat dan Terima.

“Bagaimanapun, satu tindakan tidak sensitif seperti ini menjejaskan usaha berterusan kementerian dalam memperkasakan agenda perpaduan negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun menghargai tindakan pantas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam menangani isu berkenaan.

“Insiden ini menonjolkan isu ketidakpekaan budaya yang mendalam, yang mesti ditangani untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan Astro Audio mengumumkan ketiga-tiga penyampai terbabit telah digantung daripada bersiaran sehingga diberitahu kelak sementara menunggu siasatan dalaman.

Astro Audio turut mengulangi pendirian tegas mereka berhubung perkara itu dan meluahkan rasa kesal terhadap insiden membabitkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin dalam video yang disiarkan di platform media sosial ERA.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan