KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Selepas 33 tahun, Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 35 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Kelulusan itu menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI dengan membawa pentadbiran negara kembali ke landasan melalui penggubalan RUU berkenaan bagi membolehkan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Bacaan kali pertama RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Feb oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Terdahulu Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk tempoh peralihan selepas RUU itu diluluskan, termasuk bagi penyusunan struktur, pelantikan pegawai, pemindahan jawatan serta penempatan sistem pentadbiran baharu.
“Selain itu ia juga melibatkan penyelarasan kewangan dan sumber manusia, perancangan peruntukan kewangan dan penyelarasan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan, selain pewujudan peraturan mekanisme pelaksanaan termasuk SOP (prosedur operasi standard) dalaman yang sejajar,” katanya.
Berhubung pengoperasian MPP, beliau berkata MPP diwujudkan sebagai badan tertinggi dalam Parlimen Malaysia yang bertanggungjawab merancang dan memantau pengurusan serta pentadbiran Perkhidmatan Parlimen.
Azalina berkata sebarang keputusan berkaitan pengurusan dan pentadbiran Perkhidmatan Parlimen adalah melalui MPP, yang menjadikannya sebagai badan bebas, telus dan berautonomi.
“MPP mengawasi semua urusan dan memastikan perkhidmatan Parlimen berjalan dengan lancar,” katanya.
Azalina berkata MPP boleh menjemput mana-mana individu yang difikirkan wajar untuk menghadiri mesyuarat bagi mendapatkan pendapat pakar berhubung apa-apa perkara berkaitan di bawah fungsi MPP.
“MPP juga mempunyai kuasa menubuhkan jawatankuasa lain jika perlu termasuk penubuhan jawatankuasa bersama antara ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi penyelarasan kedua-dua Dewan,” katanya.
Azalina turut menzahirkan penghargaan kepada Speaker-Speaker Dewan Rakyat sebelum ini yang berterusan memperjuangkan agar Parlimen berfungsi secara bebas daripada cabang eksekutif.
Semalam, Azalina ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata bagi memastikan keanggotaan yang seimbang, dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Dewan Rakyat, masing-masing dua daripada pihak kerajaan dan pembangkang, akan dipilih untuk menganggotai MPP.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.
Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.
Sementara itu, Azalina dalam kenyataan berkata kerajaan MADANI terus komited dan terbuka untuk menambah baik undang-undang berkaitan dengan Perkhidmatan Parlimen dalam menerajui agenda reformasi bagi memastikan sistem demokrasi negara sentiasa relevan, berdaya tahan dan berfungsi mengikut lunas perlembagaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kumpulan nukleus (MPP) yang bakal ditubuhkan akan mengadakan sesi libat urus secara komprehensif bersama ahli Dewan Negara, ahli Dewan Rakyat, agensi kerajaan berkaitan dan badan bukan kerajaan serta pertubuhan Masyarakat MADANI dalam tempoh 12 bulan, dan membawa cadangan pindaan selanjutnya.
"Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan institusi Parlimen, malah menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih demokratik dan progresif," katanya.
Azalina berkata kejayaan itu merupakan bukti nyata iltizam kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi dan undang-undang secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus negara serta memastikan perubahan yang dibawa benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
-- BERNAMA