AM

PBT PERLU LEBIH TEGAS, PENYEWA ASAL MASIH SEWAKAN RUMAH PPRT KEPADA PIHAK KETIGA

05/03/2025 06:39 PM

SEREMBAN, 5 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas dalam melaksanakan pemutihan berikutan masih terdapat segelintir penyewa asal Rumah Pangsa Kos Rendah (PPRT) di Negeri Sembilan menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata berdasarkan siasatan dan laporan diterima, terdapat penyewa asal menyewakan rumah itu antara RM200 hingga RM250 kepada individu lain. 

“Ini mengambil kesempatan dan tidak harus berlaku. Contoh, sewaan ditetapkan RM120 tetapi mereka memberi sewa kepada pihak lain RM200 atau RM250. Rumah PPRT tidak boleh disewakan, jadi masyarakat perlu lihat kenapa PBT membuat penguatkuasaan.

“Rumah PPRT disewakan kepada mereka berpendapatan rendah, B40 atau orang kurang upaya (OKU). Tindakan telah diambil terhadap penyewa asal yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini. 

Aminuddin berkata pemutihan rumah PPRT dilaksanakan tahun lepas kerana tunggakan sewaan mencecah RM34,000 selain siasatan mendapati ada penyewa asal telah tiada dan menyerahkan rumah kepada ahli keluarga tanpa memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Beliau berkata MBS mengeluarkan peruntukan besar hingga mencecah ratusan ribu ringgit bagi menanggung kos penyelenggaraan setiap PPRT selain turut membaiki lif rosak namun masih ada penyewa culas membayar sewaan ditetapkan.

"Saya berharap penyewa membayar sewa. Kita tidak boleh beranggapan tidak perlu bayar kerana ia rumah kerajaan. Apabila MBS membuat penguatkuasaan, mereka mampu pula membayar tunggakan dan ada yang boleh membuat bayaran penuh RM15,000 dan RM6,000," katanya.

Sebelum ini,  media melaporkan Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata tindakan pihaknya menanggalkan enam pintu rumah penyewa di PPRT Lobak di sini kerana penyewa gagal menjelaskan tunggakan sewa hingga mencecah RM34,000.

Beliau berkata MBS sentiasa memberi peluang dan membantu penyewa dengan menyediakan pelbagai kaedah supaya mereka dapat menjelaskan tunggakan sewa dengan kadar RM150 sebulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan