EKONOMI

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI DISOKONG OLEH AKTIVITI PEMBELIAN SAHAM BERHARGA RENDAH

05/03/2025 07:15 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini disokong oleh aktiviti pembelian saham berharga rendah yang muncul selepas penjualan besar-besaran baru-baru ini. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.76 mata atau 0.56 peratus kepada 1,564.42 daripada 1,555.66 ketika ditutup semalam. 

Petunjuk pasaran dibuka 4.90 mata lebih tinggi kepada 1,560.56 dan bergerak antara paras 1,560.56 dan 1,569.61 sepanjang hari dagangan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 663 berbanding 372 manakala 411 kaunter tidak berubah, 885 tidak diniagakan dan enam digantung.

Jumlah dagangan mengecil kepada 3.15 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 3.81 bilion unit bernilai RM3.04 bilion semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran Asia juga ditutup tinggi disokong oleh langkah China memerangi deflasi serta data indeks pengurus pembelian selain keluaran dalam negara kasar yang kukuh dari rantau itu.

"Semasa sesi perundangan tahunan China bermula, negara itu menegaskan semula komitmennya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi lima peratus pada 2025.

"Perdana Menteri China, Li Qiang berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan selain melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk merangsang pengembangan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Thong menjangka usaha rangsangan China ini akan memberi impak positif kepada pasaran serantau termasuk Malaysia.

"Walaupun sentimen pasaran menunjukkan sedikit peningkatan, tetapi kami berhati-hati dan mengakui jangkaan pelabur yang berbeza-beza.

"Oleh itu, kami mengunjurkan indeks penanda aras kekal dalam peringkat penyatuan dan bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,580 yang mewakili paras sokongan dan rintangan utama bagi baki minggu ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun FBM KLCI ditutup lebih tinggi hari ini, sentimen pasaran kekal berhati-hati apabila pelabur mengukur potensi kesan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap China bagi syarikat Malaysia.

Beliau berkata peningkatan ketegangan perdagangan khususnya mengenai pelaksanaan tarif oleh AS memberi tekanan terhadap keyakinan pelabur selain menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran baru-baru ini.

"Walaupun pemulihan hari ini memberikan sedikit kelegaan, namun, ia masih tidak mencukupi untuk memulihkan penurunan terkumpul sebanyak 33.05 mata yang dicatatkan sepanjang empat sesi dagangan berturut-turut pada masa lepas.

"Kemeruapan pasaran kekal tinggi dan dengan indeks yang masih diniagakan di bawah paras rintangan 1,590, sentimen kekal rapuh," kata Mohd Sedek.

Selain itu, beliau berkata walaupun tekanan jualan mungkin berkurangan, sentimen pelabur bagaimanapun beralih kepada mod mengelak risiko dengan keutamaan untuk sektor pertahanan dan aset pelaburan selamat di tengah ketidaktentuan yang berpanjangan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 10 sen kepada RM4.63, Tenaga Nasional naik 22 sen kepada RM13.82 dan IHH Healthcare meningkat 2.0 sen kepada RM7.37 manakala Maybank merosot 2.0 sen kepada RM10.58 dan CIMB susut 20 sen kepada RM7.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, NexG menokok setengah sen kepada 26 sen dan My E.G. Services berkembang 1.0 sen kepada 91.0 sen manakala G3 Global turun setengah sen kepada 1.0 sen, NationGate merosot 4.0 sen kepada RM1.41 dan Velesto Energy kekal pada 16.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 69.12 mata kepada 11,613.99, Indeks FBMT 100 melonjak 67.13 mata kepada 11,397.28, Indeks FBM Emas Shariah pulih 82.37 mata kepada 11,245.71, Indeks FBM ACE naik 34.91 mata kepada 4,586.28 dan Indeks FBM 70 bertambah 110.01 mata kepada 16,396.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 44.60 mata kepada 19,302.95 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.37 mata kepada 155.46 manakala Indeks Tenaga menyusut 7.34 mata kepada 727.66 serta Indeks Perladangan turun 26.46 mata kepada 7,509.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.49 bilion daripada 2.07 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menurun kepada 1.10 bilion unit bernilai RM128.53 juta daripada 1.14 bilion unit bernilai RM100.75 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 357.24 juta unit bernilai RM119.96 juta daripada 594.95 juta unit bernilai RM173.54 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang kepada 286.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (298.30 juta), pembinaan (136.90 juta), teknologi (284.60 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (160.33 juta), hartanah (156.02 juta), perladangan (23.30 juta), REITs (14.23 juta), dana tertutup (8,000), tenaga (154.25 juta), penjagaan kesihatan (70.37 juta), telekomunikasi dan media (28.05 juta), pengangkutan dan logistik (18.24 juta), utiliti (53.35 juta), dan amanah perniagaan (sifar).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan