AM

PENIAGA BAZAR RAMADAN DI PERLIS PATUH PERATURAN, TAWAR HARGA BERPATUTAN

06/03/2025 11:38 AM

KANGAR, 6 Mac (Bernama) -- Peniaga  bazar Ramadan di Perlis didapati mematuhi peraturan tanda harga yang ditetapkan dan turut menawarkan harga makanan pada kadar berpatutan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata hasil pemantauan mengejut dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri itu mendapati peniaga berkenaan mempamerkan tanda harga dengan jelas.  

"Adalah penting bagi peniaga bazar Ramadan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, kita berharap mereka terus mematuhi peraturan ini dan menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.

"Pemeriksaan yang dijalankan bukan bertujuan menakutkan peniaga, sebaliknya sekadar peringatan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga di tapak Bazar Ramadan Kangar di sini petang semalam. 

Mengulas mengenai harga makanan berasaskan santan, beliau berkata setakat ini tiada peningkatan harga dikesan malah bekalan santan di Perlis masih terkawal dengan adanya bekalan dari luar negeri yang disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis.

"Di bazar Ramadan ini (Bazar Ramadan Kangar), kita dapati harga makanan yang dijual berpatutan dan tidak keterlaluan. Malah, banyak juadah habis dijual lebih awal, menunjukkan harga yang ditawarkan memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan