KUCHING, 6 Mac (Bernama) -- Integriti bukan sahaja sebahagian daripada usaha nasional untuk membina negara bebas rasuah, tetapi ia adalah nilai yang sangat diutamakan Sarawak, kata Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata tanpa nilai integriti yang kukuh, semua pembangunan yang dibina Sarawak selama ini akan musnah.
“Pada 2018, rakyat mempercayai kami dengan belanjawan RM5.8 bilion, yang bertujuan untuk digunakan sepenuhnya bagi pembangunan negeri.
“Sarawak akan menjadi lebih makmur menjelang 2030, dengan belanjawan melebihi RM20 bilion. Ini bermakna generasi muda kita perlu dilengkapi dengan nilai integriti supaya dana yang diperuntukkan dapat digunakan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat,” katanya semasa sambutan Hari Integriti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah JPS Sarawak Datuk Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata jabatan itu telah diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182, yang memberikannya kuasa untuk mentadbir projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di negeri berkenaan, dengan had nilai sehingga RM50 juta.
“JPS Sarawak komited dengan pengiktirafan itu dan memastikan semua warga jabatan mengamalkan pematuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan dalam memastikan semua projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dan siap mengikut tempoh yang ditetapkan.
“JPS Sarawak amat memandang serius terhadap isu integriti dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan, dan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan atau ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek itu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata JPS Sarawak telah diperakui oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd kerana melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah yang mematuhi ISO 37001:2016 di ibu pejabatnya.
-- BERNAMA