BEIJING, 6 Mac (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mahu provinsi Jiangsu memainkan peranan utama dalam mencapai matlamat pembangunan "Rancangan Lima Tahun ke-14".
Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi perbincangan dengan perwakilan dari provinsi Jiangsu semasa Persidangan ketiga Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14 di sini pada Rabu.
Xi menyatakan bahawa kuasa produktif berkualiti baharu dapat dibangunkan melalui inovasi dalam bidang sains, teknologi dan perindustrian.
“Pelbagai pihak berkenaan perlu berpegang teguh kepada ekonomi sebenar semasa melakukan inovasi perindustrian.
“Pengubahsuaian dan penaiktarafan industri tradisional, penerokaan industri strategik yang baharu muncul, dan industri berorientasikan masa depan yang akan menjadi rebutan dalam persaingan, perlu diberi perhatian bersama.
“Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan gabungan sains teknologi dengan perindustrian dalam inovasi, membina platform untuk menambahbaik sistem dan mekanisme, mengukuhkan kedudukan sektor korporat sebagai peneraju inovasi dan mengeratkan hubungan antara rantaian inovasi dengan rantaian perindustrian,” kata beliau.
Xi berkata provinsi Jiangsu perlu menjadi perintis dalam usaha menghapuskan rintangan dan menjana momentum bagi memperincikan pelaksanaan dasar pembaharuan dan keterbukaan.
Menurut beliau, visi dan misi yang dikemukakan dalam satu simposium dengan usahawan swasta baru-baru ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dengan memastikan layanan yang sama untuk semua jenis perusahaan.
“Hendaklah berusaha mengoptimumkan ekosistem perniagaan, meningkatkan keterbukaan institusi dan memperluas kerjasama antarabangsa,” kata Xi.
"Provinsi yang maju dalam bidang ekonomi wajib diteladani dalam menimba pengalaman dan mewujudkan kemakmuran bersama demi kesejahteraan rakyat seluruh negara," tambah beliau.
-- BERNAMA-CMG