Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, dalam persekitaran kadar faedah yang stabil, kata ahli ekonomi.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata persekitaran kadar faedah yang stabil menyokong ekonomi untuk berkembang dengan memberikan perniagaan dan pengguna kepastian yang lebih dalam merancang kewangan dan mengakses kredit.
"Kos pinjaman yang stabil mengekalkan pelaburan modal, mengurangkan turun naik yang berlebihan dalam pembayaran hutang isi rumah, dan memastikan keseimbangan optimum antara pertumbuhan dan kawalan inflasi," katanya kepada Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga menjangka MPC akan mengekalkan kadar OPR tanpa sebarang perubahan.
Beliau berkata keputusan itu mungkin akan berdasarkan kepada jangkaan pelarasan dasar untuk subsidi bahan api, khususnya harga petrol RON95 yang dijangka direalisasikan pada pertengahan tahun.
"Kami percaya BNM mungkin mahu menilai dinamik inflasi untuk menentukan sama ada pendirian monetari semasa dapat mengekalkan jangkaan inflasi dengan berkesan.
"Pada masa yang sama, pertumbuhan berisiko untuk menurun masih wujud, terutamanya memandangkan sifat gangguan pentadbiran Donald Trump yang berpotensi melemahkan pertumbuhan global," katanya.
Mohd Afzanizam berkata mengekalkan OPR akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi sambil mengawal risiko inflasi.
-- BERNAMA