GEORGE TOWN, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 34 pendatang tanpa izin termasuk 11 wanita dalam Op Selera dan Op Sapu di daerah Timur Laut, di sini semalam.
Pengarah JIM Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim berkata mereka ditahan pada pemeriksaan di tiga premis perniagaan di Persiaran Karpal Singh, Jalan Burma dan Lebuh Macallum.
“Mereka berasal daripada pelbagai negara dan ditahan atas kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nur Zulfa berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di Pulau Pinang.
-- BERNAMA