EKONOMI

TEO NIE CHING TEROKA TEKNOLOGI CANGGIH DI MWC BARCELONA 2025

06/03/2025 11:20 PM

Daripada Zairina Zainudin

BARCELONA (Sepanyol), 6 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini meluangkan masa hampir empat jam melawat beberapa pavilion penyedia peralatan rangkaian utama di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025.

Beliau, yang berada di Sepanyol untuk lawatan kerja dua hari mewakili Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, diiringi ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Seri Dr Chee Hong Leong.

Teo melawat pavilion antaranya Huawei Pavilion, Ericsson Pavilion, ZTE Pavilion dan FiberHome Pavilion, yang masing-masing mempamerkan teknologi dan inovasi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), realiti tambahan dan realiti maya, pembuatan pintar serta komputer riba 5G.

Presiden Ericsson Malaysia, Bangladesh dan Sri Lanka David Hagerbro berkata antara teknologi yang ditunjukkan ialah penyelesaian ruang kerja mudah alih kuasa 5G terbaharu, satu perkongsian dengan Digital Nasional Bhd (DNB).

Syarikat rangkaian dan telekomunikasi multinasional itu juga menunjukkan teknologi akses tetap tanpa wayar untuk kesalinghubungan luar bandar, serta penyelesaian yang menawarkan kesalinghubungan boleh suai untuk keperluan khusus.

“Malaysia adalah yang pertama di dunia melakukan ini (melancarkan komputer riba 5G). Daripada perspektif global, Malaysia benar-benar telah melonjak sebagai sebuah negara konektif,” katanya kepada Bernama ketika mengulas lawatan Teo.

Sementara itu, wakil ZTE berkata pavilion pihaknya membolehkan pengunjung meneroka inovasi pintar yang membuka peluang baharu dengan menambah baik rangkaian sedia ada.

Pavilion itu menampilkan Rangkaian Akses Radio (RAN) ultra-cekap, penghantaran berkapasiti tinggi, penyelesaian Pusat Data Internet (IDC) mesra alam, rangkaian tetap generasi akan datang, serta penerokaan awal ke dalam 6G, dengan kesemuanya mengetengahkan demo untuk memberikan gambaran strategik mengenai masa depan inovasi telekomunikasi.

MWC adalah acara industri mudah alih terbesar dunia, menghimpunkan peserta utama dalam telekomunikasi untuk mempamerkan inovasi, membincangkan trend industri dan menggalakkan perkongsian global.

Penganjurannya yang memasuki edisi ke-19 di Barcelona tahun ini, menyaksikan Pavilion Malaysia mengetengahkan kemajuan teknologi negara dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di ASEAN.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan