AM

YOUTUBE PERKETAT DASAR BERKAITAN KANDUNGAN PERJUDIAN DALAM TALIAN

07/03/2025 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- YouTube, platform perkongsian video, mengumumkan dasar yang dikemas kini berkaitan dengan perjudian dalam talian pada Selasa lepas, sebagai usaha untuk melindungi penonton daripada kandungan yang berpotensi berbahaya.

Menurut pengumuman itu, pengukuhan dasar sedia ada berkaitan kandungan perjudian dalam talian di platform berkenaan berkuat kuasa pada 19 Mac ini di seluruh dunia.

“Di bawah dasar sedia ada berkaitan barangan atau perkhidmatan yang menyalahi undang-undang atau dikawal selia, kami tidak membenarkan sebarang kaedah mengarahkan penonton terus ke laman web atau aplikasi perjudian yang tidak diiktiraf oleh Google. Hal ini termasuk URL, pautan teks dan imej, paparan visual (termasuk logo) atau rujukan secara lisan.

“Sila ambil perhatian bahawa kandungan yang menjanjikan pulangan boleh dikeluarkan tanpa mengira sama ada laman web atau aplikasi perjudian dalam talian itu diluluskan oleh Google,” menurut pengumuman itu.

YouTube yang dimiliki Google menyatakan bahawa kandungan yang tidak melanggar Garis Panduan Komuniti, namun masih memaparkan perjudian kasino dalam talian dan mempromosi aplikasi berkaitan boleh dikenakan sekatan umur.

“Hal ini bermakna kandungan perjudian dalam talian (termasuk pertaruhan sukan secara dalam talian dan gambaran perjudian secara fizikal) tidak dapat ditonton oleh pengguna yang tidak log masuk atau pengguna di bawah 18 tahun.

“Kami faham kemas kini ini mungkin menjejaskan pencipta kandungan yang menumpukan kepada perjudian dalam talian seperti permainan kasino dan aplikasi, tetapi kami percaya perubahan ini ialah langkah diperlukan dalam melindungi masyarakat terutamanya penonton muda.

“YouTube komited menyokong pencipta kandungan sambil memastikan platform yang selamat dan bertanggungjawab untuk semua,” menurut pengumuman itu.

Langkah yang diambil YouTube ini sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras kegiatan perjudian dalam talian.

Kerajaan telah mengambil tindakan serius termasuk memperkenalkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) C untuk penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet di Malaysia serta meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 oleh Parlimen pada 12 Dis tahun lepas, bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian bagi komuniti Malaysia.

Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi memperkenalkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, bertujuan meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat tentang keselamatan Internet dan mengelakkan individu daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, perjudian haram, buli siber dan jenayah berkaitan pedofilia, sambil mempromosikan penggunaan Internet yang selamat dan beretika.

Pada 13 Feb, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata lebih 93 peratus daripada 224,403 kandungan berkaitan dengan perjudian dikeluarkan daripada pelbagai platform dalam talian, seperti Facebook, menjadikan platform media sosial itu sebagai lubuk emas iklan perjudian.

Fahmi berkata angka itu, 93.14 peratus termasuk 209,006 kandungan berkaitan perjudian diturunkan dari 2022 hingga 1 Feb lepas.

Beliau berkata 5,026 laman web perjudian disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet pada tempoh sama, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pemantauan proaktif untuk memastikan persekitaran Internet di negara ini bebas daripada kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang termasuk kandungan berkaitan perjudian.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan