KUANTAN, 7 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan kepada waris mangsa bunuh, Allahyarham Norshamira Zainal.
Pengarah Perkeso Pahang Hisham Abdul Rahman berkata suami kepada peniaga wanita itu, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 32, dan anak pasangan tersebut, Ayden Mikhael Mohammad Afiq Akhmal, 5, layak menerima Pencen Penakat yang dibayar setiap bulan sebanyak RM1,085.
"Kita mendapati Allahyarham Norshamira tidak membuat pendaftaran atau caruman berdasarkan semakan pada Skim Pekerjaan Sendiri. Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh menunjukkan bahawa beliau pernah bekerja dan mencarum dengan Perkeso, kali terakhir pada tahun 2021.
“Ini melayakkan ahli keluarganya menerima faedah Perkeso. Faedah bulanan untuk suami dan anak berjumlah RM1,085. Suaminya layak menerima Pencen Penakat sepanjang hayat, manakala anak sehingga mencecah usia 21 tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah berkenaan kepada waris mangsa di Taman PSJ, dekat Sungai Karang Darat, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang.
Sementara itu, Mohammad Afiq Akhmal bersyukur dengan pemberian tersebut selain tidak menyangka bahawa beliau dan anaknya layak menerima manfaat Pencen Penakat hasil caruman Perkeso arwah isterinya.
“Pemberian ini pastinya akan membantu kewangan kami sekeluarga. Keadaan anak ketika ini, dia seperti telah menerima berita kehilangan ibunya. Walaupun ada kalanya dia berkelakuan pelik, mungkin itu tanda protes kerana dia sangat manja dengan arwah,” katanya.
Mohammad Afiq Akhmal, yang kini menetap di rumah bapanya bersama anaknya, berkata buat masa ini, beliau memilih untuk tidak tinggal di rumahnya sendiri di Sungai Soi bagi menghilangkan rasa rindu terhadap arwah isterinya.
“Kehidupan kami memang berubah, lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan ini. Biasanya, arwah isteri akan memasak untuk kami sekeluarga dan hanya keluar berniaga selepas berbuka puasa berbanding waktu petang pada hari biasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan, Norshamira, 37, ditemukan pada 13 Feb lepas di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
-- BERNAMA