NARATHIWAT, 9 Mac (Bernama) -- Dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Sungai Golok, Narathiwat.
Dalam insiden kira-kira 7 malam (waktu tempatan) Sabtu, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.
Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Lt. Kol. Pol. Nitti Suksang, mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.
"Dalam serangan itu, dua anggota sukarelawan pertahanan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga cedera parah dan lima cedera ringan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Menurut Nitti, kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat dalam serangan itu, katanya.
-- BERNAMA