SUKAN

SUKMA: KBS PERLU TETAP DASAR KEKAL SUKAN TERAS, TINDAKAN PENGGUGURAN MERUGIKAN - EXCO JOHOR

09/03/2025 01:19 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu menetapkan satu dasar bagi mengekalkan sukan teras yang mampu menyumbang pingat pada kejohanan antarabangsa, agar tidak digugurkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA). 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata pengguguran sukan teras seperti kanu, tinju dan bola sepak oleh negeri terlibat pada SUKMA dilihat akan merugikan negara dalam membangunkan sukan berpotensi dan memperkembang bakat atlet.

Beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga perlu menekankan kepentingan dalam mengekalkan sukan teras berkenaan.

“Saya harap KBS membuat satu keputusan atau dasar supaya sukan teras di peringkat antarabangsa membabitkan atlet yang ramai, harus dikekalkan dalam SUKMA.

“MSN dan MOM juga perlu menekankan mana-mana sukan teras yang dapat pingat di Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Olimpik, perlu jadi acara tetap dan dipertandingkan dalam SUKMA, jika tidak, kita akan rugi dengan bakat-bakat yang kita ada," katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Sup Tulang Merah Sempena Ramadan Dewan Undangan Negeri Larkin, di sini, semalam.

Mohd Hairi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Selangor yang bercadang untuk memperkenalkan sukan pickleball pada SUKMA 2026 di negeri itu yang dijangka berlangsung pada Ogos.

Beliau menyambut baik cadangan Selangor, namun berharap agar sukan teras termasuk kanu, tinju dan bola sepak serta sukan teras yang lain tidak digugurkan memandangkan telah ada perbincangan berhubung acara yang akan dipertandingkan dalam temasya berkenaan.

“Saya tahu sekarang ini trending sukan pickleball, tetapi saya bimbang ia hanya akan menjadi trend sahaja, berbanding kita ada sukan teras. Senarai sukan telah dibincang, tetapi bulan 6 akan dibincang semula sukan pilihan yang akan dimasukkan sebab saya difahamkan SUKMA 2026 pada Ogos,” katanya.

Terdahulu, Mohd Hairi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Larkin mengagihkan sup tulang merah kepada penduduk kawasan berkenaan, dalam program yang dianjurkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sempena Ramadan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan