AM

PENDIDIKAN PERCUMA SARAWAK DIPERLUAS KE IPTA

10/03/2025 04:34 PM

KUCHING, 10 Mac (Bernama) -- Inisiatif pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan kerajaan Sarawak bermula tahun depan akan diperluas kepada mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah fasa kedua program berkenaan.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Dr Firdaus Abdullah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan itu, khususnya bagi penuntut UiTM Cawangan Sarawak, dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir.

“Perkara ini akan dilaksanakan pada fasa kedua, dengan pendidikan percuma diperluas kepada pelajar rakyat Sarawak di IPTA dalam negeri ini, terutamanya UiTM Cawangan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di sini, hari ini.

Fasa pertama inisiatif pendidikan tinggi percuma melibatkan lima institusi iaitu Kolej Universiti i-CATS (iCats), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak. 

Sementara itu, Firdaus berkata Abang Johari mencadangkan UiTM Sarawak bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam sektor agrikultur dengan menjadikan UiTM kampus Mukah hab projek penanaman padi khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan benih padi, produktiviti dan hasil padi.

"Kita akan meneliti cadangan itu dan kita akan menubuhkan satu pasukan penyelidikan untuk kajian serta mencadangkan kepada kerajaan Sarawak bagaimana kita dapat membantu dari segi teknologi, infrastruktur dan produktiviti penanaman padi di negeri ini.

“Ini juga termasuk penyimpanan karbon kerana penanaman padi ini ada kaitan dengan perkara tersebut," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan