KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia sah beraksi, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai penyertaannya pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 di Birmingham, yang membuka tirai esok.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan Herry Iman Pierngadi mengesahkan perkara itu susulan kecederaan bahu yang dialami anak buahnya baru-baru ini.
“Berdasarkan maklumat diterima semalam, Aaron akan bermain di Seluruh England,” katanya kepada Bernama.
Legenda beregu Indonesia itu bagaimanapun tidak berangkat ke England susulan masalah visa.
Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik akan membuka kempen pada kejohanan badminton tertua dunia itu menentang gandingan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai pilihan kelima pernah bergelar naib juara pada kejohanan berprestij itu pada edisi 2019 dan 2024.
Kecederaan bahu dialami Aaron menyebabkan beliau dan Wooi Yik tersingkir pada pusingan pembukaan Masters Orleans 2025 di Perancis minggu lepas.
Bekas juara dunia 2022 itu dikejutkan dengan kekalahan 18-21, 8-21 kepada pasangan muda China Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun pada kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan.
-- BERNAMA