JENAYAH & MAHKAMAH

PENCEROBOHAN DI TANAH ADAT KELAIK SUKARKAN PENDUDUK TERUSKAN ADAT - SAKSI 

10/03/2025 06:52 PM

KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pencerobohan tanah adat Kampung Kelaik,Gua Musang menyukarkan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar untuk berpindah dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan tanah adat itu apabila berlaku kematian. 

Saksi, Ahak Uda, 58, sebagai plaintif pertama yang memberi keterangan dalam saman tuntutan tanah adat itu berkata akibat pencerobohan seperti aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang dilakukan defendan pertama hingga ke-10 telah menyukarkan mereka meneruskan amalan berkenaan.

"Sehingga kini, seramai 202 penduduk Kampung Kelaik membina rumah menggunakan sumber semula jadi seperti buluh dan rotan, selain mengusahakan pertanian, memburu, menangkap ikan serta mengutip hasil hutan sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional.

"Kami menduduki dan memiliki tanah ini dari generasi ke generasi, bukan sahaja untuk punca pendapatan tetapi juga bagi tujuan keagamaan upacara kerohanian dan perkuburan sejak turun-temurun," katanya. 

Perbicaraan kes tuntutan saman sivil oleh penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Gua Musang terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan di Mahkamah Tinggi di sini berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.

Pada perbicaraan hari pertama itu, pihak plaintif yang diwakili peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, Rajesh Nagarajan dan Ambbi Balakrishnan mengemukakan saksi pertama Ahak Uda bagi memberi keterangan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Sebelum ini, plaintif memfailkan saman itu pada Mac 2021 bagi pihak diri mereka dan penduduk Kampung Kelaik di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah pusaka terbabit.

Mereka menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd, Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd sebagai defenden pertama hingga ke-10.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan negeri Kelantan selaku defendan ke-11 hingga ke-14.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan