KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengkaji semula kursus dan latihan kemahiran agar memenuhi kehendak industri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata KBS juga perlu memastikan pengurusan berfungsi dengan cekap tanpa pembaziran serta membentuk budaya kerja yang lebih dinamik dan inklusif bagi golongan belia.
“Semasa Mesyuarat Bersama Pimpinan Pengurusan KBS, pelbagai isu utama dibincangkan untuk memastikan penambahbaikan kebijakan serta mekanisme yang relevan dengan arus pendigitalan, teknologi, dan perubahan ekonomi global,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran KBS dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Menara KBS, Putrajaya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, timbalannya Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta hampir 400 warga KBS.
Perdana Menteri berkata beliau amat tersentuh dan bersemangat tatkala menjejakkan kaki di Menara KBS buat kali pertama.
Beliau berkata kehadirannya ke KBS mengimbau kisah dan pengalaman 42 tahun lepas ketika beliau diberi amanah untuk berkhidmat sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.
“Masih segar di ingatan betapa pegawai-pegawai belia di daerah-daerah tetap bekerja dengan semangat juang yang tinggi meski berdepan tantangan dan kekangan yang ada,” katanya.
-- BERNAMA