KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Harga semerta minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal disokong paras semasa, diniagakan dalam julat RM4,500–RM4,600 setan bulan ini, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, bekalan minyak sawit kekal terhad pada Mac, dengan waktu kerja lebih singkat sepanjang bulan Ramadan, yang mungkin mengurangkan produktiviti pekerja.
“Kami menjangkakan eksport minyak sawit akan kekal lemah pada Mac berikutan catuan permintaan di tengah-tengah harga premium MSM berbanding pesaing minyak sayuran.
“Berdasarkan tinjauan terbaharu Intertek Testing Services (ITS), eksport minyak sawit pada 1-10 Mac, 2025 adalah 25 peratus lebih rendah bulan ke bulan berbanding 1-10 Feb, 2025,” katanya dalam satu nota.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit terus merosot untuk bulan kelima berturut-turut sejak Oktober 2024, menyusut tujuh peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan bulan lepas.
Bagaimanapun, penurunan itu lebih rendah berbanding jangkaan tinjauan pasaran Bloomberg, yang menjangkakan paras inventori sebanyak 1.48-1.49 juta tan, disebabkan eksport yang lebih rendah sedikit berbanding jangkaan.
CGS International berkata inventori minyak sawit bulan ke bulan yang lebih rendah pada Februari 2025 didorong oleh penurunan empat peratus bulan ke bulan dalam pengeluaran MSM dan penurunan sebanyak 25 peratus bulan ke bulan dalam import MSM.
Walaupun jangkaan berterusan terhadap harga MSM adalah tinggi pada suku pertama 2025, CGS International masih mengekalkan pendirian berkecuali ke atas sektor minyak sawit.
“Kami menjangkakan MSM berpotensi melemah pada suku kedua, didorong oleh pemulihan pengeluaran minyak sawit (terutama dari Indonesia) dan peningkatan bekalan daripada pesaing iaitu minyak sayuran.
“Kami terus memilih SD Guthrie Bhd dan Hap Seng Plantation Holdings Bhd sebagai pilihan sektor utama kami,” katanya.
-- BERNAMA