AM

PENDEKATAN MENYELURUH PERKUKUH KESELAMATAN PERAIRAN SABAH - SHAMSUL ANUAR

12/03/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperkukuh keselamatan perairan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah melalui pendekatan menyeluruh merangkumi kawalan keselamatan, kerjasama antarabangsa serta penggunaan teknologi terkini bagi membanteras ancaman jenayah rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi meningkatkan keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), Operasi Sanggah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus diperhebat sebagai inisiatif menyeluruh, bersepadu dan berkesan dalam mengukuhkan kawalan di kawasan berkenaan.

“Kita juga menjalin kerjasama dengan agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kita melaksanakan Op Gasak Laut dan Darat serta Op Bersepadu (OB) di kawasan ESSZone selain Pusat Pemeriksaan Laut (SCP) sebagai pos kawalan laut di perairan ESSZone serta pengoperasian 40 pos ATM dan 46 pos Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut yang ingin tahu usaha meningkatkan kawalan keselamatan, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa dan pelaksanaan teknologi terkini bagi menangani isu di pulau-pulau di Pantai Timur Sabah yang berpotensi menjadi pusat pemerdagangan dadah.

Shamsul Anuar berkata pelaksanaan rondaan dan pintasan maritim turut diperhebat melalui penyelarasan tujuh kapal dan bot ATM, tiga kapal dan 36 bot PDRM serta tiga kapal dan 14 bot APMM selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan ESSZone melibatkan enam daerah utama iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Kerajaan juga memperkukuh jaringan perisikan melalui kerjasama antarabangsa dengan perkongsian maklumat bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia yang ditingkatkan melalui Mesyuarat Kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Shamsul Anuar berkata dari segi teknologi pula, radar pengawasan strategik telah dipasang di pulau-pulau utama ESSZone, melibatkan pengoperasian lima radar seliaan ESSCOM, sembilan radar ATM dan satu radar pengawasan APMM serta pemasangan sistem pemantauan gentian optik di Pulau Sebatik, Tawau.

Beliau berkata perolehan aset pesawat tanpa pemandu (UAV) dilaksanakan bagi kawalan kawasan laut terbuka serta dron pemantauan di kawasan berisiko tinggi bagi mengesan aktiviti penyeludupan dadah.

“Pembangunan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa 2 juga sedang giat dijalankan di Area Control Centre (ACC) Sandakan yang bertindak sebagai pusat kawalan utama yang mengurus operasi pengawasan dan koordinasi aset.

“Selain itu, Remote Sensor Site (RSS) Malawali, Sabah bertindak sebagai pusat pengumpulan data di kawasan terpencil atau kawasan strategik di pesisir pantai,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Edward mengenai langkah meyakinkan keselamatan pelancong, Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi maklumat kepada duta-duta asing tentang keselamatan kawasan berkenaan dan ia memberi kesan positif bagi memulihkan imej sektor pelancongan.

“Bagi mengukuhkan keyakinan, kita meningkatkan rondaan dengan menggunakan semua aset di kawasan utama dan berisiko tinggi manakala di kawasan tumpuan ramai, kita menempatkan polis pelancong dan mengadakan taklimat dengan agensi-agensi pada 25 hingga 27 Julai 2024.

“Untuk membanteras isu dadah, pelbagai langkah kita laksanakan. Selain menggunakan teknologi, kita adakan kerjasama negara jiran, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat dengan Filipina, Indonesia dan negara lain,” katanya.

Berhubung soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai pemantauan ke atas warga tempatan yang membantu sindiket penyeludupan dadah, beliau berkata kerajaan telah merampas lebih RM90 juta nilai barangan, termasuk dadah dan barang kawalan, sejak 2020 hingga Januari tahun ini.

“Untuk dadah sahaja dalam tempoh sama, nilai rampasan yang kita peroleh sebanyak RM13.5 juta. Ini menunjukkan kejayaan kita namun kita sedar ancaman sentiasa berubah, jadi kita jalin kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak mudah melepaskan sesiapa memasuki negara ini melalui semua pintu sempadan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan