JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN SELANGOR SERBU STOR HARAM, RAMPAS MINYAK MASAK PAKET, LPG DI KAPAR

12/03/2025 02:35 PM

KAPAR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak paket satu kilogram (kg) dengan nilai rampasan keseluruhan RM200,000 menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Syapadu, Rantau Panjang, dekat sini, Isnin lepas.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan sekitar 4 petang itu dilakukan dengan kerjasama polis kontinjen Selangor berdasarkan hasil maklumat serta risikan selama sebulan terhadap premis berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut menahan lima warga tempatan dan 10 warga Indonesia, masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 30-an dipercayai pekerja premis tersebut.

“Pasukan serbuan telah menemukan lambakan kotak mengandungi minyak masak paket dan (timbunan bungkusan) paket plastik minyak masak yang telah dipotong.

“Sebanyak 6,910 tan minyak masak dengan anggaran nilai sebanyak RM18,000, 2,606 tan LPG dianggarkan bernilai RM35,000, pelbagai peralatan serta empat lori dirampas,” katanya pada sidang media di premis tersebut di sini hari ini.

Mohd Zuhairi berkata siasatan mendapati premis yang dijadikan stor haram itu merupakan tempat untuk memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pihak industri.

Beliau berkata pihaknya percaya kira-kira 4,000 paket diseleweng setiap hari dengan sumber bekalan barangan terkawal tersebut dipercayai diperoleh sekitar Lembah Klang.

“Kita akan siasat dalang kegiatan ini, dipercayai merupakan seorang lelaki tempatan selain tindakan lanjut ke atas premis pembekal minyak masak paket.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 selain Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan