AM

INSPEKTORAT PENGUATKUASAAN DI BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI SELURUH PAHANG - JIM

12/03/2025 09:23 PM

KUANTAN, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang sedang melaksanakan Inspektorat Penguatkuasaan di bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negeri itu. 

Pengarahnya Nursafariza Ihsan berkata setakat ini, pihaknya telah memeriksa kira-kira 40 bazar dan inisiatif itu akan diteruskan hingga minggu akhir Ramadan. 

"Kita telah dapatkan senarai bazar daripada pihak berkuasa tempatan iaitu kira-kira 100 lokasi di seluruh negeri ini dan JIM akan membuat inspektorat penguatkuasaan bagi meningkatkan omnipresence serta kesedaran kepada peniaga. 

"Setakat pemeriksaan yang dibuat, kami mendapati semua peniaga terdiri daripada orang tempatan dan beragama Islam, tiada tangkapan dibuat terhadap peniaga warga asing di bazar," katanya kepada pemberita di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini hari ini. 

Beliau berkata pemeriksaan itu turut melibatkan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan setiap agensi akan memainkan peranan masing-masing.

“Bila kita bersama agensi lain boleh juga periksa kepatuhan peniaga terhadap peraturan ditetapkan antaranya daripada aspek kebersihan dan kawalan harga... bagi JIM, kami lihat keberadaan warga asing sama ada meniaga atau membeli," jelasnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan