AM

LEMBAGA ZAKAT DISARAN PERKASA KERJASAMA DENGAN MASJID, PERSATUAN PENDUDUK - PENGANALISIS

12/03/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat negeri disaran memperkasakan kerjasama dengan institusi masjid dan persatuan penduduk bagi memastikan zakat dapat disalurkan dengan lebih baik kepada golongan memerlukan.

Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) Prof Dr Baharom Abdul Hamid berkata institusi berkenaan dapat membantu menyalurkan maklumat tepat kepada Lembaga Zakat mengenai pihak yang benar-benar memerlukan bantuan dan tahap keberkesanan bantuan disalurkan.

"Selain itu, institusi ini dapat menyalurkan maklumat (terkini) mengenai asnaf-asnaf yang telah keluar dari kepompong asnaf. Jadi kita hanya perlukan satu platform, maksudnya kita jangan work in silo," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Zakat & Ekonomi Ummah: Ke Manakah Hala Tuju? terbitan Bernama TV malam ini.

Baharom berkata dengan menjalin kerjasama dengan institusi dan agensi berkaitan, Lembaga Zakat dapat memastikan bantuan pembangunan modal insan dan keusahawanan seperti modal perniagaan dan peralatan seperti mesin jahit kepada asnaf dimanfaatkan sebaiknya. 

"Bantuan tidak akan terhenti saat ia diagih, ia kena ada pelan yang berterusan. Ini bermakna apabila kita agihkan bantuan seperti barangan dan duit, kita kena pastikan (asnaf) ada sistem sokongan, ini amat penting... jadi akan ada kesinambungan.

"Bila diberikan agihan (bantuan) harus ada pelan tindakan, literasi (kewangan), kemahiran, akses kepada pasaran - kemudian baru kita boleh (membantu) secara holistik... harus ada satu pelan yang komprehensif, bekerja seiring dengan agensi sedia ada," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan