AM

ORANG RAMAI DIMINTA PANTAU ISU BEKALAN MINYAK MASAK

13/03/2025 11:57 AM

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaporkan sebarang kekurangan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol di kawasan masing-masing.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata langkah ini amat penting bagi memastikan bekalan produk tidak terputus, terutama menjelang sambutan Aidilfitri beberapa minggu lagi.

"Kita telah mengadakan mesyuarat bersama tiga syarikat penapis utama minyak masak di Johor serta pertemuan dengan beberapa pihak pasar raya besar untuk membincangkan isu bekalan minyak masak tempatan.

“Kita akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan orang ramai diminta segera membuat aduan kepada KPDN sekiranya berdepan dengan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Program Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood 2025 di sini semalam. 

Beliau berkata isu berkenaan timbul disebabkan berlakunya peningkatan harga minyak sawit mentah dunia serta penetapan harga siling kerajaan yang menyebabkan syarikat terlibat tidak dapat menampung kos operasi. 

“Sehubungan itu, kerajaan mempertimbang pemberian insentif khas bagi membantu syarikat meningkatkan pengeluaran dan bekalan minyak masak dalam pasaran.

“Melalui beberapa langkah intervensi yang diambil, KPDN Johor yakin bekalan minyak masak di negeri ini akan mencukupi menjelang Aidilfitri sehingga selepas musim perayaan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata KPDN Johor tidak menerima sebarang aduan berhubung penjualan makanan melebihi harga munasabah yang melibatkan bazar Ramadan di negeri ini, namun pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa. 

Pada Sabtu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dilapor berkata intervensi segera yang dilaksanakan kerajaan adalah penting bagi memastikan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol cukup untuk keperluan rakyat dalam tempoh tiga bulan ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan