AM

KTMB SEDIA TREN KHAS EKSPRES LAMBAIAN AIDILFITRI EDISI PANTAI TIMUR SEMPENA AIDILFITRI

13/03/2025 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Pantai Timur untuk memenuhi permintaan tinggi pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman, sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas itu, sebanyak 312 tiket akan ditawarkan bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,248 tiket.

Beliau berkata tiket-tiket berkenaan merangkumi pilihan koc katil superior dan koc tempat duduk premier, bagi memenuhi keperluan serta keselesaan penumpang.

“Menariknya, tren khas ini turut menyediakan koc bufet yang menawarkan pelbagai hidangan serta koc chillax, iaitu ruang santai eksklusif untuk penumpang menikmati perjalanan dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui selepas sesi rakaman rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Mohd Rani berkata perkhidmatan tren khas itu akan beroperasi pada 28 Mac dan 2 April 2025, dari KL Sentral pada 11 malam dan dijangka tiba di Tumpat pada 3.53 petang.

Manakala pada 29 Mac dan 4 April 2025, tren akan bertolak dari Tumpat pada 10.45 malam dan dijangka tiba di KL Sentral pada 3.10 petang.

Tren ini akan berhenti di 16 buah stesen iaitu stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Beliau berkata tiket untuk perjalanan tren khas itu akan dijual pada harga antara RM90 hingga RM95 untuk perjalanan sehala.

Mohd Rani Hisham berkata pembelian tiket perjalanan KTMB sempena musim perayaan ini boleh dibeli secara dalam talian melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) dan laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.

“Selain itu, tiket juga boleh dibeli di mesin kios KTMB yang disediakan di stesen terpilih bagi kemudahan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan