DUNIA

UTUSAN KHAS TRUMP AKAN KE MOSCOW BINCANG GENCATAN SENJATA – RUMAH PUTIH

13/03/2025 01:04 PM

WASHINGTON, 13 Mac (Bernama-Anadolu) -- Utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi Timur Tengah dijadualkan berkunjung ke Moscow hujung minggu ini untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Rusia mengenai cadangan gencatan senjata selama 30 hari demi menghentikan peperangan di Ukraine, menurut Rumah Putih pada Rabu.

Jurucakap Karoline Leavitt berkata, Penasihat Keselamatan Negara AS Mike Waltz menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia pada hari yang sama, menegaskan bahawa pasukan Presiden Trump terus berunding dengan pihak Moscow menjelang lawatan Steve Witkoff, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Leavitt tidak mendedahkan tarikh ketibaan Witkoff mahupun pemimpin Rusia yang akan ditemuinya, tetapi menekankan gesaan agar Moscow menerima cadangan gencatan senjata itu.

“Kami menggesa pihak Rusia untuk menyokong pelan ini. Ini adalah peluang paling hampir untuk mencapai kedamaian dalam konflik ini. Kami hanya tinggal selangkah lagi, dan presiden menjangkakan Rusia akan membantu merealisasikannya,” katanya kepada pemberita.

Witkoff, sebelum ini pernah terlibat dalam perjanjian pembebasan rakyat Amerika, Marc Fogel, yang ditahan di Rusia selama lebih tiga tahun.

Ukraine menerima cadangan gencatan senjata selama 30 hari yang dikemukakan Washington pada Selasa, yang Trump sifatkan sebagai “gencatan senjata sepenuhnya.” Persetujuan itu dicapai selepas rundingan antara delegasi AS, diketuai Setiausaha Negara Marco Rubio dan Waltz, dengan pihak Ukraine di Arab Saudi.

Kenyataan bersama selepas pertemuan itu bagaimanapun tidak menyentuh soal “jaminan keselamatan,” iaitu komitmen AS untuk campur tangan sekiranya Rusia melanggar perjanjian itu.

Namun, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam satu ucapan lewat malam menegaskan bahawa perkara itu turut dibincangkan dan akan dirundingkan dengan lebih terperinci sekiranya gencatan senjata dilaksanakan.

Sementara itu, Trump pada Rabu memberi amaran akan mengenakan sekatan ekonomi yang “amat dahsyat” terhadap Rusia sekiranya Presiden Vladimir Putin menolak perjanjian terbabit.

“Terdapat langkah-langkah tertentu yang boleh diambil, dan ia pastinya tidak menyenangkan dari sudut kewangan.

Saya boleh melakukan sesuatu yang akan memberi impak besar terhadap ekonomi Rusia. Tetapi saya tidak mahu ke arah itu kerana matlamat utama adalah keamanan.

“Kami semakin hampir untuk mencapai persetujuan,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan