AM

5,272 BELIA BANKRAP SEJAK 2020

13/03/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 5,189 orang merupakan belia berumur 25 hingga 34 tahun dan 83 belia berumur di bawah 25 tahun.

“Trend kebankrapan dalam kalangan belia menunjukkan peningkatan, pada 2024 terdapat 877 kes meningkat sebanyak 150 kes berbanding 727 pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, punca utama kes kebankrapan pada 2024 melibatkan pinjaman peribadi yang menyumbang sebanyak 2,776 kes atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan iaitu hampir 50 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew yang ingin tahu jumlah belia berusia 35 tahun ke bawah yang telah diisytiharkan bankrap setakat 2025 dan apakah punca utama yang menyebabkan berlakunya masalah berkenaan.

Hannah berkata faktor lain yang menyumbang kepada kebankrapan termasuk pinjaman perniagaan iaitu sebanyak 1,148 kes, pinjaman perumahan sebanyak 474 kes dan keberhutangan yang lain melibatkan 463 kes.

Selain itu, antara faktor lain ialah sewa beli kenderaan melibatkan 444 kes, penjamin korporat 383 kes, hutang cukai pendapatan 110 kes, hutang kad kredit membabitkan 89 kes, kegagalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 77 kes, serta biasiswa, pinjaman pelajaran sebanyak sembilan kes dan empat kes disebabkan oleh menjadi penjamin sosial.

Beliau berkata kementerian melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara mengambil inisiatif dengan melaksanakan program khusus Literasi Kewangan Belia yang akan mula dilaksanakan pada April hingga Oktober tahun ini di seluruh negara.

“Program ini bertujuan meningkatkan daya ketahanan kewangan dengan menyasarkan seramai 30,600 orang belia menjelang tahun 2030.

“Bagi tahun 2025, Kementerian Belia Sukan (KBS) turut melaksanakan program Genta Permerkasaan Ekonomi Belia khususnya bagi Zon Tengah, yang mengetengahkan elemen kos sara hidup kepada peserta belia,” katanya.

Hannah berkata kerajaan melalui Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah dan akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan sasar  dalam membentuk masyarakat lebih bijak dalam berbelanja serta mengamalkan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab,

Beliau berkata ia sekali gus bagi mengurangkan risiko muflis dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan