JENAYAH & MAHKAMAH

1,750KG BERAS TIADA LABEL GRED DAN HARGA DIRAMPAS DI SKUDAI

13/03/2025 04:40 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Polis bersama pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Johor merampas 1,750 kilogram beras dalam serbuan di kawasan Skudai, dekat sini, pukul 3.40 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP M S Balveer Singh berkata hasil operasi tersebut mendapati kesemua 70 kampit beras yang setiap satunya seberat 25 kilogram, tidak mempunyai gred dan harga.

Beliau berkata nilai anggaran rampasan terhadap beras tersebut sebanyak RM14,875 dan kesemua rampasan telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras negeri, untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah peruntukan Peraturan 10(2) P.U 64 Kawalan Padi dan Beras (Perlesenan dan Peruncit) iaitu seseorang pemegang lesen runcit hendaklah melekatkan label atau tag yang menunjukkan gred dan harga beras pada kampit atau bekas berkenaan yang ditawarkan untuk jualan serta dipamer di tempat yang mudah dilihat.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan