KOTA BHARU, 13 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan di Kelantan diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan tidak menjual makanan yang telah rosak bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada pelanggan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata penjualan makanan basi atau tidak lagi selamat dimakan bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pembeli tetapi turut menimbulkan persoalan mengenai keberkatan rezeki yang diperoleh.
“Jika lauk yang sudah rosak masih dijual, dibimbangi kita memperoleh pendapatan yang tidak berkat, bahkan mungkin menjadi haram.
“Rezeki daripada jualan pada bulan Ramadan sepatutnya bersih, halal dan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Nur Ramadan Wanita Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Muhammadi di sini hari ini.
Beliau berkata keunikan makanan Kelantan antara tarikan utama pelancongan di negeri berkenaan, justeru aspek kebersihan, keaslian resipi dan harga perlu sentiasa dipelihara.
Mohamed Fadzli turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan pada bulan Ramadan dengan mengenakan harga tidak munasabah kepada pelanggan.
“Kelantan terkenal dengan makanan enak, harga berpatutan serta masyarakat yang mesra. Saya menyeru agar peniaga menjadi duta negeri ini kerana mereka berada di barisan hadapan dalam memperkenalkan imej Kelantan kepada orang ramai,” katanya.
Semalam, sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati ikan cencaru berlada yang dibeli di sebuah gerai di Wakaf Zin, Bachok dipenuhi ulat ketika dipanaskan untuk sahur.
Pembeli itu mendakwa lauk berkenaan dibeli petang sebelumnya, sebelum disedari mengandungi banyak ulat mati di bahagian dalam ikan.
-- BERNAMA