KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Batik Air, Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AirAsia bersetuju untuk menambah penerbangan ke Sarawak sempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata penerbangan tambahan itu diperlukan untuk mengatasi peningkatan permintaan perjalanan semasa musim perayaan.
"Bermula 26 Mac hingga 6 April, ketiga-tiga syarikat penerbangan tersebut akan menambah penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Miri serta Bintulu – untuk mengurangkan kesesakan dan memastikan rakyat Sarawak dapat berkumpul bersama keluarga dan orang tersayang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggalakkan para pengembara supaya menempah tiket lebih awal bagi memastikan perjalanan mereka terjamin.
"Kementerian saya akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan utama untuk memastikan kapasiti penerbangan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan awam," tambahnya.
-- BERNAMA