PASIR PUTEH, 13 Mac (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan lebih RM20 juta untuk Skim Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah tahun ini, dengan tujuan membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata skim ini menawarkan pembiayaan dengan kadar faedah rendah serta boleh diubah mengikut syarat yang ditetapkan, memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian tanpa terbeban dengan kos yang tinggi.
"Tahun lepas, kami telah memberikan pinjaman tanpa faedah kepada lebih 400 pelajar, dan lebih dua pertiga daripada mereka berjaya menyelesaikan pengajian.
“Kami juga menawarkan kemungkinan penukaran pinjaman ini kepada biasiswa sekiranya pelajar memperoleh CGPA 3.5 ke atas," katanya selepas Majlis Bantuan Persekolahan YBR bersama Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani) di Pusat Latihan Pendidikan Pasir Puteh hari ini.
Sementara itu, YBR turut menyumbangkan RM6,300 untuk membantu 63 keluarga murid daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memulakan sesi persekolahan baharu yang bermula pada pertengahan Februari lepas.
"Misi kami adalah membantu mereka yang kurang berkemampuan, terutama di kawasan luar bandar, pedalaman, serta miskin bandar.
”Bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa OKU dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, alat tulis, dan keperluan lain," katanya.
Selain itu, YBR juga menyumbangkan RM5,000 kepada Insani bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pelan jangka panjang dalam membantu golongan OKU, termasuk penyediaan keperluan sara hidup, pembelian peralatan perubatan serta dorongan pendidikan untuk anak-anak golongan itu.
-- BERNAMA