BANDAR PERMAISURI,13 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu kereta maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Proton Wira di Kilometer 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Selamat di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa Kamaruddin Jusoh, 53, beralamat di Kampung Jelapang di sini maut di tempat kejadian, manakala isterinya cedera pada bahagian dada dan kepala dalam kejadian sekitar pukul 2.45 petang itu.
“Pemandu sebuah lagi kereta Proton Wira Muhammad Izzat Afzan Efendy, 20, mengalami patah paha kanan dan cedera pada bahagian dada.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta dipandu Muhammad Izzat Afzan dari arah Kuala Terengganu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan mangsa yang berada di laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA